Kali ini berbicara tentang penjagaan orkid.Sebelum tu sebagai mukadimahnya kita kenali dulu jenis2 orkid dan faktor kenapa diminati oleh sesetengah orang.
Orkid yang popular di tanam di Malaysia
Kebanyakkan orkid yang mendapat permintaan ramai ialah orkid hibrid. Ini kerana beberapa faktor seperti;
•warna bunga yang lebih menarik
•bunga yang tahan lama
•pokok tahan lasak berbanding dengan orkid liar
•harga yang murah berbanding orkid liar
•saiz bunga yang lebih besar berbanding orkid liar
•sesuai untuk jualan keratan bunga
Jenis-jenis Orkid
Terdapat beberapa jenis orkid yang popular di tanam di nurseri nurseri di dalam kuantiti yang besar kerana mendapat permintaan tinggi di pasaran Malaysia khususnya. Antaranya;
•Dendrobium
•Phalaenopsis
•Arachnis
•Vanda
•Cattleya
•Oncidium
Cara Menanam Orkid
Jom kita berkongsi pengalaman beberapa teknik cara membiakkan orkid dan juga media tanaman yang selalu digunakan dikalangan peminat orkid.
1) Susahkah menanam orkid?
Sebenarnya orkid tidak susah untuk di tanam, sama seperti pokok bunga lain juga. Apa yang penting pengetahuan tentang keperluan hidupnya sahaja. Ini adalah sesuatu yang pasti untuk kita ambil berat kerana ia adalah benda hidup seperti manusia. Sudah tentu orkid juga memerlukan persekitaran yang sesuai, ‘makanan’ dan ‘minuman’ untuk hidup. Maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menyediakannya. Setelah melakukannya, kita pasti gembira apabila melihat orkid hidup subur dan mengeluarkan bunga yang cantik.
Mari kita berkongsi pengalaman,aspek penanaman dan penjagaan orkid. Harap dapat menambahkan lagi kefahaman tentang flora unik ciptaan Allah ini. Penerangan diberikan dengan bahasa yang mudah dan ringkas, juga seboleh mungkin penulis akan sertakan foto agar lebih mudah difahami.
2) Media penanaman orkid
Penanaman orkid memerlukan kita menentukan media yang sesuai mengikut habitat asal orkid dan persekitaran hidup semulajadinya. Terdapat beberapa jenis media yang biasa digunakan oleh peminat orkid. Bergantung kepada penanam untuk memilih kesesuaian media mengikut iklim mikro* kawasan penanam.
a. Pecahan batu bata
Salah satu media yang popular digunakan dan mudah didapati. Digunakan untuk menanam orkid epifit dan orkid memanjat. Biasanya dicampur sekali bersama dengan pecahan arang.
Teknik menggunakan;
i. Sebelum menggunakan batu bata hendaklah direndam di dalam racun kulat selama semalaman. Selepas itu angkat dan keringkan.
ii. Pecahkan batu batu kepada saiz besar, medium dan kecil mengikut kesesuaian pasu.
iii.Letakkan pecahan besar di bawah pasu, diikuti dengan bersaiz medium dan kecil.
iv. Tanam orkid di atas permukaan pasu. Jangan timbus pangkal orkid. Untuk tegakkan orkid yang tinggi, boleh gunakan kayu pancang sebagai sokongan.
Nota : Pangkal orkid simpodial tidak boleh ditimbus semasa menanamnya kerana dipangkalnya terdapat beberapa mata tunas yang akan membentuk anak kelak.
b. Pecahan arang
Juga media yang popular dan mudah didapati di kedai kedai runcit. Digunakan untuk orkid epifit dan orkid memanjat. Digunakan bersama dengan pecahan batu bata.
Teknik menggunakan:
i. Rendamkan arang selama semalaman untuk membuang garam. ( kerana arang diperbuat daripada kayu bakau yang tumbuh di tepi laut).
ii. Siram arang menggunakan aliran air supaya sisa garam dapat dibuang.
iii.Ikut teknik seperti menggunakan pecahan batu bata untuk langkah seterusnya.
c. Serbuk kayu
Biasa digunakan sebagai media yang diletakkan didalam pasu atau batas untuk menanam orkid jenis memanjat.
Teknik menggunakan:
Gunakan serbuk kayu sebagai campuran bersama dengan media lain seperti pecahan batu bata, arang, tanah pasuan dan perlite)
i. Rendam serbuk kayu yang ingin digunakan di dalam racun kulat semalaman. Angkat dan keringkan.
ii. Masukkan habuk kayu ke dalam bekas tanaman.
iii. Letakkan orkid di atas media. Jika menanam orkid yang hidup ditanah,campur bersama dengan media pasuan dengan tujuan untuk membekalkan bahan organik di dalam tanah apabila ia mereput.
d. Perlite
Perlite semakin digemari di dalam penanaman orkid, ini kerana ia mudah dikendalikan, ringan, tahan lama. Perlite juga boleh dicampur bersama dalam tanah pasuan untuk memperbaiki sistem saliran dan pengudaraan tanah. Sesuai untuk orkid epifit dan orkid yang hidup ditanah. Penulis menggemari media ini kerana ia boleh mengurangkan risiko penyakit dek kesan daripada penyiraman melampau.
Teknik menggunakan:
i. Siram perlite dengan air supaya ia basah sebelum mengendalikannya. Ini adalah untuk tujuan keselamatan kerana perlite yang berkeadaan kering, partikelnya mudah berterbangan kerana ia sangat ringan. Dibimbangi memudaratkan kita apabila disedut. Tidak rugi kita berhati-hati.
ii.Isikan ke dalam pasu sehingga penuh.
iii.Letakkan orkid di atasnya, boleh juga dibenamkan orkid sehingga menutup rizomnya. Ini tidak memudaratkan kerana perlite masih memberi rongga udara.
iv. Boleh menggunakan kayu sokongan untuk penanaman orkid yang tinggi dan besar saiznya.
e. Sphagnum moss
Media yang popular dibuat sebagai lapisan untuk menanam orkid epifit pada tunggul kayu dan potongan dahan tembusu. Ia mampu meyimpan kelembapan dengan lebih lama. Ada juga penanam menggunakan 100% sphagnum moss yang diletakkan di dalam pasu untuk menanam orkid genus phalaenopsis. Ini untuk mengekalkan kelembapan lebih lama kerana orkid jenis ini tidak mempunyai bebawang untuk menyimpan air.
Teknik menggunakan;
i. Sphagnum moss yang hendak digunakan direndam di dalam larutan racun kulat semalaman. Angkat dan biarkan sehingga ia terasa lembap.
ii.Isikan ke dalam pasu atau tampalkan kepada tunggul kayu misalnya
f. Potongan batang paku pakis gajah.
Media ini juga amat digemari oleh penanam orkid kerana ia boleh menyimpan air dengan lebih lama dan mengelakkan kesan buruk daripada penyiraman melampau. Media ini amat sesuai untuk tanama secara gantung.
Teknik menggunakan;
i. Potong batang paku gajah mengikut kesesuaian orkid yang hendak di tanam.
ii. Lekatkan orkid di atasnya dengan menggunakan tali yang tidak mencederakan orkid anda.Gunakan tali rafia kerana ia akan reput setelah orkid hidup dengan stabil pada media tanaman.
g. Tunggul kayu
Media ini sesuai untuk tanaman orkid secara gantung. Ia lebih cepat kering berbanding dengan potongan paku pakis gajah. Ia mudah diperolehi di dalam hutan,di ladang-ladang sawit atau di tepi sungai.
Teknik menggunakan sama seperti menggunakan potongan batang paku pakis gajah. Boleh diletakkan sedikit Sphagnum moss untuk melambatkan kadar kehilangan air selepas siraman.
h. Potongan dahan tembusu
Penulis menggunakan media ini untuk menanam orkid daripada famili Bulbophyllum dan Phalaenopsis. Daripada pemerhatian penulis orkid lebih cepat hidup stabil apabila menggunakan media ini. Ia mempunyai kulit yang tebal yang mampu menyimpan air lebih lama.
i. Tanah campuran
Orkid yang hidup di tanah memerlukan media ini. Penulis biasanya menggunakan campuran tanah kompos, perlite dan sekam padi pada kadar 1:1:1. Ini dapat memberi kadar saliran dan pengudaraan media yang amat baik lepada akar orkid.
j. Tiada media
Tiada media bermaksud orkid digantung bebas tanpa menggunakan sebarang media. Teknik ini sesuai untuk orkid jenis Vanda. Teknik ini memerlukan kadar penyiraman yang lebih.
Penyediaan persekitaran hidup orkid
Orkid seperti tanaman yang lain juga yang memerlukan penanam menyediakan persekitaran hidup yang sesuai untuknya. Perkataan lain yang paling sesuai sekali ialah kadar pencahayaan. Kadar pencahayaan kepada orkid boleh di beri dengan penyediaan teduhan sebab setiap jenis orkid memerlukan kadar cahaya yang berbeza-beza. Sebagai contoh, orkid famili Arachnis memerlukan cahaya matahari 100% manakala orkid famili Phalaenopsis memerlukan cahaya matahari hanya 50% untuk hidup dengan subur. Ada 2 teknik teduhan yang biasa digunakan oleh penanam orkid.
a. Rumah teduhan
Teknik ini amat popular dikalangan penggemar orkid kerana mudah untuk menyediakan kadar teduhan. Untuk teduhan biasanya mereka menggunakan jaring teduhan berwarna hitam yang biasa dijual. Kadar teduhan jaring tersebut biasanya adalah 50% dan terdapat beberapa jenis untuk pilihan penanam.
b. Tanaman bersama pokok teduhan
Teknik ini boleh dikatakan orkid dijadikan antara elemen penyeri taman. Teduhan orkid diperolehi melalui kanopi pokok-pokok teduhan yang ada di taman penanam, atau terus menanam orkid pada dahan-dahan pokok di taman. Ia lebih kelihatan semulajadi. Sesuai untuk pembinaan landskap berasaskan orkid atau diintegrasikan bersama bunga-bungaan lain.
Cara pembiakan orkid
Sebagai penggemar orkid, fasa pembiakan orkid memang tidak dapat di elakkan kerana ia sudah tentu memberikan anda kelebihan untuk meningkatkan bilangan pokok di dalam koleksi anda. Selain itu risiko anda untuk kehilangan total pokok yang mungkin mati di serang penyakit juga amat rendah kerana mempunyai beberapa pokok daripada jenis yang sama.
Orkid boleh dibiakkan dengan beberapa cara antaranya:
- pembiakan daripada anak benih
•daripada ‘flask’
•pot komuniti
•pot individu
- pembahagian rumpun
- keratan daripada pokok induk
- benih
Pembiakan melalui anak benih
1. Pengeluaran daripada ‘flask’
Benih yang telah disemai akan membesar menjadi anak benih di dalam ‘flask’. Apabila telah cukup besar ia perlu dikeluarkan untuk ditanam di dalam pasu. Anda boleh membeli anak benih di dalam ‘flask’ ini di nurseri orkid yang menjualnya dengan harga serendah RM20.00, bergantung kepada sesuatu jenis orkid.
Berikut diterangkan teknik mengeluarkan anak benih daripada ‘flask’.
Anak orkid didalam botol (flask) boleh didapati dikebanyakkan nursery orkid. Harganya dari RM20 hinggalah RM1000 mengikut jenis orkid. Dalam satu botol ada lebih kurang 5 hingga 50 anak orkid.
Bahan bahan yang diperlukan;
1. Racun kulat ( keterangan lanjut dalan bab 3)
2. Lumut (sphagnum moss) atau sabut kelapa (yang sudah dihancurkan). Basahkan lumut air atau sabut kelapa tersebut.
3. Kertas suratkhabar
Caranya;
1. Keluarkan anak orkid dari botol. Jika mulut botol itu besar, gunakan penyepit (forceps) yang telah disterilkan. Jika mulut botol itu kecil maka botol hendaklah dipecahkan.
2. Basuhkan anak orkid menggunakan air. Pastikan tiada agar-agar (jelly) melekat diakar pokok.
3. Rendamkan anak orkid itu kedalam larutan anti fungus selama 10 hingga 15 minit.
4. Tuskan dan keringkan anak orkid itu di atas kertas suratkhabar selama setengah jam (hanya letakkan di atas kertas suratkhabar dan dianginkan)
5. Setelah itu balutkan akar anak orkid dengan lumut air atau sabut kelapa dan masukkan kedalam pasu mengikut saiznya (pasu yang kecil dipanggil thumbpot)
6. Untuk anak pokok yang terlalu kecil kumpulkan dan ditanam didalam satu pasu (pasu ini dipanggil compot)
7. Letakkan di tempat yang teduh dan tidak terkena air hujan.
8. Siram/semburkan baja penyubur sebanyak 2 atau 3 kali seminggu.
9. Apabila sudah membesar, pindahkan ke pasu yang besar sedikit mengikut saiz yang bersesuaian dengan anak orkid. Ulangi proses pemindahan ini 2 atau 3 kali sehingga orkid matang.
Jangkamasa untuk anak orkid membesar hingga matang dan bersedia untuk berbunga adalah dari 5 bulan hingga 3 tahun bergantung pada jenis orkid. Contohnya, orkid jenis phal mengambil masa sekurang kurangnya 8 bulan untuk berbunga.
2. Pot komuniti
Orkid yang telah dikeluarkan daripada ‘flask’ dan telah ditanam secara kelompok di dalam satu pasu dikenali sebagai ‘Communiy Pot’ atau ringkasnya ‘compot’. Penanam boleh terus membeli orkid yang telah siap di tanam di dalam ‘compot’ di nurseri orkid.Setiap ‘compot’ biasanya mengandungi antara 10-20 anak pokok. Risiko orkid untuk hidup jika dibiakkan cara begini adalah lebih tinggi berbanding secara ‘flask’. Oleh itu bagi anda yang kurang pengalaman, boleh membeli ‘compot’ orkid untuk menggandakan koleksi orkid anda.
3. Pot individu
Setelah orkid di dalam ‘compot’ membesar, nurseri akan memindahkannya dalam pasu yang lebih besar secara individu. Maka, anda juga boleh membeli orkid secara begini kerana biasa orkid yang di tanam di dalam pasu individu telah hidup stabil.
Pembahagian rumpun
Teknik pembiakan ini amat sesuai untuk orkid simpodial. Apabila rumpun orkid telah cukup besar ia boleh dipecahkan kepada beberapa rumpun kecil untuk dibiakkan.
Keratan daripada pokok induk
Teknik pembiakan ini amat sesuai untuk orkid monopodial. Sebahagian pucuk orkid yang telah mempunyai akar dipotong daripada pokok induk dan di tanam sebagai satu individu yan baru.
No comments:
Post a Comment